Penyair iDANRADZi
idan.easyjournal.com
 
November 2008
SuMoTuWeThFrSa
      1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
30      

Powered by Easyjournal
Kajang,  Malaysia
Penyairan nan tiada penghujang... dunia penyairan adalah desahan hati yang diluahkan tanpa batas. Ada ketika memang ianya agak sensitif tetapi ada ketika segalanya akan jadi satu pengajaran buat semua.
11.11.2008
Awan Waktu
Berarak ke hulu bayangnya ke hilir
berarak ke hati rawannya ke diri.

Mana janjimu bagai kumulus lupus
berkampung di kelompok taufan
dengan dingin embun janji sirus
yang terbit di dinihari stratus
asmaradana sang buana lena
kita adalah belangkas erat
hasrat sampai ke akhirat.

Berarak kumulonimbus meredah duniawi
renyai janji bagaikan tidak tertanggung
kau biarkan aku meniti pelangi sangsi
terluncur sendiri ke jurang sepi.

iDANRADZi
Jenaris Kajang.


6.18.2008
Apa Lagi Yang Ada.
Apa lagi yang ada dalam hidup ini
bila ditatang kasih sebaiknya
berlelehan jua si zalim hakikat
membiarkan aku sendiri sepi
berdengkur dalam lahat misteri.

Apa lagi yang ada dalam bumi ngeri
bergelimpangan mayat sangsi
berwajah suram & cengkung
menatap langit hidup yang mendung
semalam hari ini & esok
gusar lagi gurur merundung
langsung tiada payung keselamatan
buat adat menongkah ibadat.

Apa lagi yang ada dalam nyawa senja
langkahan kaki tidak sesasa dahulu
asyik menelan pil kimia & herba
tidak tentu penghujung waktu
yang bakal memengapkan segala
kudrat & upaya semakin lara
mengimbas dosa yang ada
bagaikan tak rela lagi diperhamba
ajal tidak peranah lupa jasad.

Apa lagi yang ada dalam segalanya
sementelah nilai kekayaan dunia
telah ditarik semula oleh Nan Esa.

19 Jun 08




12.31.2007
Ais Cinta


Cinta ini makin sejuk
& cair
menitis
dari janji setia kita
mengalir
dari ingatan sepi kita

Cinta ini makin hilang
& kosong
terapung
dari kapas kapan kasih kita
menghilang
dari liang lahat intim kita.

Aku mencari-Mu
dalam doa & taubat
Aku mencari-Mu
dalam akur & zuhud
Aku mencari-Mu
semahunya.

Sementelah kenapa
seakan diri ini
tidak diperdulikan
lagi; Aku + Mu = Mati.

iDANRADZi
Jenaris Kajang.
11.16.2007
CABAI SEBIJI 25¢
Bagaikan tak tercapai tangan
mahu membeli cabai sebiji berharga 25¢
sedangkan benihnya jika
dibuang ke laman tumbuh membiak
sedangkan benihnya jika
dimakan dek unggas hidup meruak.

Kenapa pula durian kampung
harganya tidak naik melambung
sejak sedekad gerainya masih usang
opah penjaulnya semakin walang
dusun & kebun semak berlalang
anak merantau tak pulang-pulang.

Cabai sebiji 25¢
durian kampung sebakul dikira borong
nasib anak bangsaku terusan menakik untung
apek memajak tanah labanya bergunung.

iDANRADZi
Jenaris Kajang

Tarikh siar : 17hb November 2007, 04:42:10 pagi
http://www.melayu.com


10.29.2007
Puisi iDAN di Berita Minggu 28.10.07 Jangan Bunuh ii ( Singgahsana )
JANGAN BUNUH AKU II

Jangan bunuh aku dengan api amarahmu
aku masih mahukan kemaafanmu
berteduh di kelopak seri simpatimu
bagai dulu mesra dengan belaianmu
terikat erat antara setia & airmata.

Jangan bunuh aku dengan peluru keegoanmu
kita masih perlukan perdamaian
berjuang di persada kukuh perdagangan
bagai jiran tetangga dengan penghormatan
terjalin mesra antara mercu & halatuju.

Jangan bunuh aku dengan bala musibah-Mu
aku masih pohonkan keampunan-Mu
bersujud di sejadah taubat syumul-Mu
bagai ujud semula dengan rahmat-Mu
terkapar zuhud antara kudrat & iradat.

Tolonglah jangan bunuh aku
sayugia kalian; sendiri tahu
sesungguhnya aku masih mahu
bernafas dalam jasad keprihatinan-Mu.

iDANRADZi
Jenaris Kajang.

Dari Ilham Puisi
JANGAN BUNUH AKU

janganlah kau bunuh aku
lantaran aku mahu bernafas
dalam jantungmu
janganlah kau bunuh aku
lantaran aku belum hafaz
menyebut namamu

janganlah kau bunuh aku
aku mahu hidup
semau-maunya denganmu
janganlah jangan bunuh
aku aduhai kekasihku
sungguh aku belum puas
mengecap nikmat kasihmu

kau hadapkan jua kesepian,
kebisuan & kealpaan
kau jaringi aku dengan
prasangka & kedapan persoalan
kau hiasi mahligai impian
dengan kesuraman harapan
kau simpuhkan jejak kaki hatiku
di ribaan bisumu
lalu aku semakin mati
di kematian waktu luguku
: buntu & keliru

kekasih
janganlah kau bunuh aku
lantaran aku hidup dalam dirimu
janganlah kau bunuh aku
lantaran aku tidak berniat langsung
membunuhmu
janganlah kau bunuh aku
sebelum Allah Azzawajalla
mencabut nyawaku nyawamu.

iDANRADZi
Jenaris/simulasi
Tahun-tahun lalu

Jangan Kau Bunuh Aku iii

kukumpul semula bait-bait puisi
menghiasi hari nafasmu meniti deru
aku sesungguhnya bagaikan
melayang dari ranting ke ranting
terperangkap di sawang kehidupan
mengejar sinar nan hilang
dikelekaanmu melata
merimas desah & airmata

aku terpaksa & dipaksa
mengutip putik-putik kering
cuba menyirami ia dengan
renjisan harapan
agar dikau mengenali
erti benih kesetiaan
jangan bunuh janji kita
jangan bunuh impian kita
jangan bunuh janin kita
jangan bunuh cinta kita
tolonglah
jangan kau bunuh aku
kekasihku

iDANRADZi
Jenaris/perisian
Tahun ini.

..:: Janganlah Kau Bunuh Aku ::..
Posted on: Jun 11, 2006 - 03:36 AM by idanradzi
Tersiar dalam TokeiKedai
9.19.2007
Sarangjanji
menyingkap tabir malam
sesungguhnya merpatihati
bagaikan tidak lena
menganyam sarangjanji
laguanrindu berderu & syahdu
mencantas dedaun sepiku

iDANRADZi
catatan di Tripod
8.12.2007
Jajahan Nafsu
Sajak ini tersiar di Berita Minggu pada 12 Ogos 2007

JAJAHAN NAFSU

Sempadan minda tiada bertepi
mahu menakluki gurun simpati
debu amarah lekat di hati
peperangan ini adalah kelodak ngeri
dia tidak pernah bersapa mesra
tahu-tahu bergegar segala ledakan sangsi
mana semuanya rukun keukhwahan
esak sesak terselerak sesat siasat
bunga hitam ini diserahkan senyap
dalam gerombolan pakatan sulit
senjata warisan selerak bersepahan
tidak pasti mahu dipacukan sasaran
paksi kasih makin kembali ke diri
belukar rimba lara terbakar terbiar
jajahan nafsu semakin gersang
terkapar terhalang di jurang walang
angin perubahan murung terkurung
anjung damai sepi tiada pengunjung
masing-masing berpandangan serong
berkubu keliru tiada arah penentu
tidak kelihatan panas disirami hujan
bertuhankan dendam tak kunjung padam
daerah bersejarah kian berdarah parah
kekitaan kian terasing & meruncing.

iDANRADZi
Jenaris Kajang